Tuesday, December 22, 2009

Perkara makruh semasa makan

Oleh
Ustaz Abdul Rahman Mohamed

SETELAH kita mengenal adab-adab makan yang dianjurkan oleh Islam dan hikmah di sebaliknya, minggu ini kita tinjau pula perkara-perkara yang makruh dilakukan semasa makan.

Namun sebelum itu, kita perlu kenal apakah yang dimaksudkan makruh dalam Islam. Makruh bermakna sesuatu yang dibenci Allah.

Perkara-perkara yang dimakruhkan semasa makan:

Memulakan makan tanpa membaca apa-apa kalimat Allah

Manusia yang tidak membaca apa-apa kalimat Allah adalah manusia yang lupa kepada Allah dan berani makan apa sahaja tanpa mengira halal atau haram.

Makan berdiri

Rasulullah saw melarang kita makan dalam keadaan berdiri kerana ia tidak mencerminkan adab yang baik dan mereka yang makan berdiri tidak dapat memberi tumpuan kepada makanannya.

Islam mahu agar semasa makan, kita dapat memberi tumpuan kepada makanan supaya kita dapat membuang kotoran yang mungkin termasuk dalam makanan dan menikmati makanan sambil berasa bersyukur dengannya.

Makan sambil bersandar

Sabda Rasulullah saw: 'Jangan kamu makan dalam keadaan bersandar.'

Makan cara ini bertentangan dengan hikmah Islam yang menggalakkan makan dengan keadaan duduk di lantai. Apabila bersandar, perut terdedah tanpa ada sekatan dan kawalan untuk makan juga tidak dapat terlaksana.

Makan dengan tangan kiri

Sabda Rasulullah saw: 'Jangan makan dengan tangan kiri, sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya.'

Kita memang diajarkan membuat perkara-perkara yang kotor seperti beristinjak dengan tangan kiri. Jika adab ini diamalkan, tentu kita dapat menjauhkan diri daripada segala macam penyakit yang boleh merebak melalui najis seperti Aids, Sars dan hepatitis.

Meniup minuman dan makanan yang panas

Nafas yang keluar daripada mulut manusia terdiri daripada udara yang tidak baik, maka dikhuatirkan kuman yang terkandung dalam tiupan itu akan masuk ke dalam minuman dan makanan hingga memudaratkan kesihatan kita atau orang lain yang memakan atau meminum minuman itu, seperti anak-anak.

Terlalu kenyang

Rasulullah saw bersabda: 'Sesungguhnya orang yang banyak kenyang di dunia akan menjadi orang yang paling banyak lapar di akhirat.'

Tambahan pula, orang yang biasakan diri dengan hidup terlalu kenyang akan menjadi manusia yang lalai daripada kelaparan orang lain.

Membuang atau membazir makanan

Sifat membazir adalah sifat syaitan. Firman Allah swt yang bermaksud:

'Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan.'

Keterlaluan dalam pembaziran makanan bukan sahaja makruh bahkan boleh sampai kepada perbuatan haram.

Semoga siri bimbingan ini dapat memberi manfaat ke arah menghidupkan kembali budaya Islam dalam kehidupan harian. Hadis-hadis dipetik daripada kitab Sunan Ibnu Majah.

Nota: Penulis adalah konsultan agama.

http://cyberita.asia1.com.sg/

No comments:

Post a Comment